Adun Semambu, YB Lee Chean Chung semakin sibuk sempena Bulan Ramadhan ini. Biarpun baru beberapa bulan sahaja menjadi YB di Dun Semambu, beliau tidak pernah melupakan masyarakat di kawasan yang diwakilinya. Gerak kerja beliau semakin berganda berbanding sewaktu beliau berkempen sebelum PRU 13 yang lalu.
Meskipun berbangsa Cina dan Non Muslim, anak muda yang juga aktivis masyarakat ini tidak pernah memandang bulu atau bersifat perkauman di dalam menjalankan amanah yang telah diberikan rakyat. Jika Adun dari PAS semakin banyak melakukan amal terhadap masyarakat sebagai amalan yang dituntut di dalam Islam sepanjang bulan Ramadhan, Adun Semambu ini turut bersaing bagi melakukan amalan yang baik ini kerana semua agama menuntut kerja-kerja amal yang baik untuk masyarakat. Inilah prinsip yang sentiasa dipegang oleh YB Lee Chean Chung.
Petang kelmarin (02 Ogos 2013), selepas waktu Asar beliau bersama petugas-petugas Pusat Khidmat Dun Semambu serta bersama beberapa sukarelawan telah mengadakan ziarah ke beberapa buah madrasah di sekitar Dun Semambu dan Parlimen Indera Mahkota. Kunjungan itu dibuat bagi menyantuni beberapa orang AJK Madrasah dan para Jemaahnya di samping mengenalpasti beberapa masalah yang dihadapi oleh pengurusan madrasah berkenaan. Di samping itu, Adun ini juga sempat memberikan sumbangan kepada beberapa madrasah yang dikunjungi.
Beberapa madrasah yang belum sempat beliau kunjungi akan dikunjungi di dalam masa yang terdekat ini sebelum menjelang Aidil Fitri.
No comments:
Post a Comment