NOTIS

/

Wednesday, April 24, 2013

DAP TETAP BERI SOKONGAN PADA CALON KEADILAN

Harapan Umno/Bn khususnya di Negeri Pahang untuk melihat berlaku perpecahan di antara KEADILAN, PAS dan DAP ternyata gagal.  Mereka berharap perpecahan akan berlaku apabila sebelum ini berlaku perebutan satu, dua kerusi di antara Pakatan Rakyat.
Semalam Pakatan Rakyat Pahang telah mengadakan Sidang Media untuk menyuarakan komitmen Pakatan Rakyat di Pahang untuk bersatu tumbangkan rejim Umno/Bn.  DAP secara tegas menyatakan sokongan kepada KEADILAN dan PAS di semua kerusi di Pahang, termasuk di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yang sebelum ini dikatakan mahu dicalonkan wakil dari DAP.
Sidang akhbar tersebut telah diadakan oleh Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman yang turut dihadiri oleh calon-calon dari KEADILAN, PAS dan pimpinan DAP.  

Saturday, April 20, 2013

LEE CHEAN CHUNG LAYAK BERTANDING DALAM PERTANDINGAN TIGA PENJURU

Pagi tadi (20/4/13) telah diadakan Hari Penamaan Calon PRU 13, dan bagi kawasan Parlimen/Dun di Indera Mahkota penamaan calon telah diadakan di Bangunan Majlis Belia, Indera Mahkota.  Pencalonan telah dibuka seawal jam 09.00 sehingga SPR mengumumkan senarai calon-calon yang layak bertanding lebih kurang dua jam kemudiannya.

Ketibaan Sdr Lee Chean Chung bersama para penyokong
Calon KEADILAN Dun Semambu, Sdr Lee Chean Chung bersama-sama calon Dun Beserah, Sdr Andansura Rabu beserta para penyokong masing-masing telah berarak ke Pusat Penamaan Calon dengan begitu meriah sekali.  Walau bagaimanapun, calon KEADILAN bagi Kerusi Parlimen Indera Mahkota, Dato' Fauzi Abd Rahman tiba lewat sedikit tetapi tetap mengemukakan borang pencalonan.

Bersama Pengerusi KEADILAN Pahang dan calon dari PAS dijulang oleh para penyokong selepas pengumuman calon oleh SPR

Sdr Lee Chean Chung bakal menentang calon dari MCA/Bn, Pang Tsu Ming dan seorang calon Bebas iaitu Blogger CMK atau Mohd Shukri bin Mohd Ramli.


Thursday, April 18, 2013

LEE CHEAN CHUNG CALON KEADILAN DI DUN SEMAMBU

Ribuan terima kasih kepada pimpinan KEADILAN di semua peringkat yang telah memberikan kepercayaan kepada Penyelaras Dun Semambu yang juga Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota, Sdr Lee Chean Chung yang telah dipilih untuk bertanding mewakili KEADILAN di Kerusi Dun Semambu.

Calon Dun Semambu - Sdr Lee Chean Chung
Jangkaan awal nampaknya memang tepat kerana semua masyarakat di sini begitu berharap agar anak muda ini yang juga seorang aktivis Kumpulan Hijau Anti Lynas dicalonkan bagi menawan kembali Kerusi Dun Semambu yang berada di bawah Parlimen Indera Mahkota.  Pencalonan beliau juga sudah pasti mendatangkan kebimbangan kepada Bn memandangkan gerak kerja Sdr Lee Chean Chung bersama seluruh jenteranya telah mendapat sambutan masyarakat berbilang kaum di sekitar Dun Semambu.

Rakyat di sekitar Dun Semambu khususnya dan Indera Mahkota, amnya patut bersyukur kerana memperolehi seorang tokoh muda yang begitu rajin dan lantang bersuara menyuarakan permasalahan rakyat.  Tokoh ini patut diberi tempat di dalam Dewan Undangan Negeri Pahang agar boleh membantu membela nasib rakyat yang kini semakin tertekan di bawah rejim Umno/Bn.

Selamat Berjuang!!


Wednesday, April 17, 2013

LEE CHEAN CHUNG BAKAL BERTANDING DI KERUSI DUN SEMAMBU?

Khabar-khabar angin bertiup kencang dua tiga hari yang lalu kononnya bakal calon KEADILAN di Dun Semambu bukanlah tokoh yang sering disebut-sebut sebelum ini.  Semua maklum, walaupun nama calon belum diumumkan tetapi ramai pemerhati politik di sini dan juga masyarakat tempatan menyebut bahawa tiada tokoh lain yang layak untuk menentang calon MCA di Dun Semambu selain dari Penyelaras Dun Semambu sendiri iaitu Sdr Lee Chean Chung yang juga Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota.

Tokoh muda yang tidak kenal penat lelah....
Kita boleh lihat sendiri betapa kuatnya usaha anak muda ini mendekati rakyat di sini.  Beliau berjaya menyelami hati dan perasaan masyarakat berbilang kaum di Dun Semambu.  Berbagai-bagai masalah dari yang sebesar-besarnya seperti isu Lynas sehingga ke masalah longkang tersumbat sekalipun, Sdr Lee Chean Chung bersama rakan-rakannya yang lain dari PR di kawasan ini sentiasa bersama rakyat untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Ertikata lain, masyarakat di sini mungkin tidak selesa sekiranya Sdr Lee Chean Chung cuba dibawa keluar dari kawasan Dun Semambu.  Dari aspek moral, membawa keluar anak muda ini ke kawasan lain boleh menyebabkan beliau merasa seolah-olah segala usaha dan tenaganya tidak dihargai.  Suatu kerugian seandainya tindakan tidak bijak ini dilakukan apatah lagi disaat-saat akhir.

Apa pun, tidak beberapa hari lagi kita boleh mendapat tahu siapakah yang bakal menjadi calon di Kerusi Dun Semambu ini.

Saturday, April 13, 2013

25 Bilik Gerakan Indera Mahkota Diaktif, Isu Tanah Jadi Tumpuan

Sebanyak 25 bilik gerakan diaktifkan sebagai markas operasi bagi memastikan KEADILAN mempertahan kerusi Parlimen Indera Mahkota, kata Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Calon KEADILAN Parlimen Indera Mahkota itu, berkata bilik gerakan dengan kerjasama jentera PAS mendapat sambutan cukup hebat dari masyarakat. 
 
Dato' Fauzi Abd Rahman - Pengerusi KEADILAN Pahang (Calon Parlimen Indera Mahkota)
 
“Kita aktifkan 12 bilik gerakan di DUN Beserah diketuai Timbalan Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, Andasura Rabu dan 13 di DUN Semambu, diterajui Pemangku KEADILAN Cabang Indera Mahkota, Lee Chean Chung.  
 
“Setakat ini, kita di peringkat penyusunan strategi, bagaimana untuk pastikan gerak kerja lebih efektif dan diterima pengundi.

“Dua anak muda yang bakal dicalonkan di dua DUN bawah Parlimen Indera Mahkota, Chean Chung dan Andasura banyak membantu kempen saya. 
 
 
Lee Chean Chung - Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota/Penyelaras Dun Semambu
“Mereka mengadakan pertemuan, mengedar risalah dan berceramah tiap-tiap malam,” kata Pengerusi Perhubungan KEADILAN Pahang itu kepada Keadilan Daily.

Pengerusi Kor Bekas Anggota Tentera/Perajurit (Kobat) KEADILAN Pahang itu juga yakin KEADILAN melalui sokongan rakyat, bakal mempertahan kerusi itu.

Fauzi berkata, isu yang menjadi masalah pengundi Indera Mahkota, antara lain ialah berkaitan tanah dan loji radioaktif di Lynas.

“Isu tempatan ialah Lynas dan beberapa isu manipulasi tanah yang didalangi Umno BN melibatkan 2,000 ke 3,000 ekar untuk diserah kepada syarikat dan pemodal tertentu.

“Isu lain pula berkisar soal keperluan asas penduduk seperti kenaikan harga barang dan harga minyak. Kita akan perjuangkan untuk membantu rakyat supaya mereka menikmati keselesaan hidup,” katanya.

Pada PRU 12, KEADILAN yang diwakili Azan Ismail menewaskan calon Umno BN, Salamon Ali Rizal dengan mendapat 19,823 undi manakala majoriti pula 1,027 undi./KD

Friday, April 12, 2013

PM SEMENTARA DAN PEMIMPIN BN LANGGAR PRINSIP KERAJAAN SEMENTARA

KENYATAAN MEDIA
10 April 2013

PERDANA MENTERI SEMENTARA DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK DAN PIMPINAN BARISAN NASIONAL MELANGGAR ETIKA PRINSIP PERANAN PENTADBIRAN KERAJAAN SEMENTARA

KEADILAN mendesak agar seluruh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak berhenti dari melanggar etika Prinsip Peranan sebuah Kerajaan Sementara dimana segala jentera dan pengurusan kerajaan adalah dihadkan agar tidak disalah gunakan untuk tujuan berkempen selepas Parlimen dibubarkan.

Kegagalan membezakan diantara ‘Kempen’ dan ‘Pentadbiran’ atau Kerajaan Sementara dan Kerajaan yang dipilih hanya membuktikan Barisan Nasional tidak dapat menunaikan tanggung-jawab serta amanah secara jujur yang menjadi petanda bahawa Barisan Nasional tidak mampu membawa sebarang perubahan yang positif demi rakyat.

Sejak Parlimen dibubarkan, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk menghormati prinsip demokrasi dengan menyalahgunakan kuasa kerajaan sementara yang membabitkan jentera dan kemudahan kerajaan untuk kepentingan UMNO/Barisan Nasional. Yang lebih meruncing, adalah kegagalan Datuk Seri Najib untuk memenuhi Akujanji Pilihanraya yang beliau tandatangani dengan badan Transparency International, yang menyebut, antara lain:

Calon PRU mestilah memastikan dana, sumber, serta harta awam tidak digunakan sewaktu kempen.

Datuk Seri Najib Tun Razak serta anggota kabinetnya telah mengumumkan beberapa perkara penting yang mencabul etika kerajaan sementara. Antaranya ialah:

1 Pada 5 April 2013, Datuk Seri Najib Tun Razak telah umumkan 3 projek utama di Cyberjaya yang bernilai RM 8 bilion.

2 Pada 5 April 2013, Dato’ Raja Nong Chik telah mengadakan majlis perasmian jalan di Pantai Dalam dengan masih mengguna pangkat ‘Menteri’ dan menggunakan jentera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

3 Pada 8 April 2013, media arus perdana telah melaporkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah umumkan bahawa kad diskaun ataupun 1Malaysia Privilege Card yang dilancarkan pada Ogos 2012 akan diperluaskan kepada 725,000 pesara kerajaan.

4 Pada 8 April 2013, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin telah berkempen di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima, Klang dalam Majlis Perjumpaan Khas TPM bersama guru-guru sekolah Tamil.

5 Pada 9 April 2013, Datuk Seri Najib Tun Razak telah umumkan pembinaan kompleks bernilai RM 400 juta yang membabitkan syarikat dari China iaitu CSR Zhu Zhou Electric Locomotive Company di Perak.

6 Akhir sekali, pada 9 April 2013, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa telah menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat pengumuman mengenai Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang menyediakan rumah mampu milik kepada penjawat awam.

Sewajarnya, sebagai sebuah kerajaan sementara, sebarang pengumuman mengenai keputusan penting atau projek besar haruslah terhenti bagi menghormati pihak lawan dan prinsip demokrasi yang memastikan perlawanan di gelanggang politik yang sama rata.

KEADILAN bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain telah memulakan inisiatif menguatkuasakan arahan ketat pentadbiran kerajaan sementara seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dengan memulangkan kenderaan rasmi negeri dan tidak membuat sebarang keputusan penting membabitkan dasar utama.

Maka, saya mencabar Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghentikan sebarang penggunaan jentera dan kemudahan kerajaan bagi tujuan kempen UMNO/Barisan Nasional. Penyalahgunaan kuasa berterusan ini jelas membuktikan sebenarnya Datuk Seri Najib Tun Razak gagal menjunjung prinsip demokrasi, dan sewajibnya membatalkan akujanji pilihanraya yang beliau tandatangani dengan Transparency International Malaysia yang sekadar digunapakai untuk menghiasi imej umumnya.

Saya turut mencabar semua menteri di dalam pentadbiran Datuk Seri Najib untuk memulangkan semula semua kenderaan-kenderaan rasmi dan tidak menggunakan sebarang jentera kerajaan termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi tujuan kempen.

KEADILAN akan terus memantau dan mendedahkan kepada rakyat setiap penyalahgunaan kuasa oleh pentadbiran kerajaan sementara Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama kami memantau tindak-tanduk kerajaan sementara sekarang supaya tidak menyalahgunakan kemudahan kerajaan bagi tujuan politik.

Sebarang aduan mengenai penyalahgunaan kuasa boleh dilaporkan kepada kami ataupun mana-mana pertubuhan bertanggungjawab seperti PEMANTAU.



NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden KEADILAN

Monday, April 8, 2013

KAUM INDIA DI INDERA MAHKOTA KELUAR PARTI PKR TERNYATA PROPAGANDA MURAHAN

Heboh baru-baru ini kononnya beratus-ratus kaum India di Indera Mahkota, Kuantan akan mengumumkan keluar dari Parti KEADILAN.  Khabar angin tersebut tentunya melegakan Umno/Bn di kawasan tersebut, malangnya kelmarin harapan mereka berkecai apabila satu sidang akhbar telah diadakan di mana masyarakat India di sini menyuarakan sokongan padu kepada KEADILAN.

Sidang media oleh Sdr Lee Chean Chung, Pemangku Ketua Cabang KEADILAN Indera Mahkota

Berdasarkan kepada khabar angin tersebut berkemungkinan bekas Naib Pengerusi III KEADILAN Pahang,  G. Ram telah mengumumkan untuk bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Indera Mahkota bagi menentang Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman.  G. Ram mungkin merasakan beliau akan mendapat sokongan padu dari masyarakat India di kawasan tersebut.  Kini, G. Ram boleh memikirkan semula keputusan beliau itu jika tidak mahu dimalukan oleh para pengundi di Parlimen Indera Mahkota.

"Kami tetap bersama KEADILAN"
Sekalung tahniah kepada seluruh masyarakat India di Parlimen Indera Mahkota yang matang di dalam membuat keputusan.  Kaum India seperti juga kaum-kaum yang lain sudah pastinya akan tetap terbela sekiranya PR menjadi kerajaan samada di peringkat Pusat mahu pun Negeri.


Friday, April 5, 2013

PKR DUN SEMAMBU TIDAK GENTAR PERTANDINGAN 3 PENJURU

Khabar angin bertiup kencang menyebut bahawa selain dari kerusi Dun Teruntum, Kuantan yang bakal menyaksikan pertandingan 3 penjuru di antara PKR, Bn dan Bebas (Cucu Mat Kilau), kerusi Dun Semambu juga bakal menyaksikan pertandingan 3 atau 4 penjuru di antara PKR, Bn dan parti BERJASA atau Bebas.

Bagi jentera PKR Dun Semambu khususnya, mereka telah bersedia untuk berhadapan dengan lawan samada dua penjuru mahupun lebih kerana menyedari bahawa rakyat kini hanya fokus untuk memenangkan PR dan menolak calon selain daripada itu.  Di bawah Penyelaras Dun Semambu yang juga Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota, Sdr Lee Chean Chung gerak kerja telah lama bermula dan kini semakin diperhebatkan.

Sdr Lee Chean Chung disebut-sebut bakal calon Dun Semambu
Sambutan rakyat sekitar kawasan ini amat membanggakan dan ini jelas menunjukkan rakyat kali ini mahu berubah.  Mereka mahu melihat PR mengambil alih Pahang dan sekaligus berada di Putrajaya.  Calon Bebas khususnya sudah pasti ditolak oleh rakyat di kawasan ini kerana mereka hanya tampil menjelang PRU dan ini menunjukkan mereka bertanding hanya untuk kepentingan diri semata-mata.

Namun demikian, jentera PKR Dun Semambu tidak boleh terlalu yakin rakyat di sini mahu melihat PKR bersungguh-sungguh untuk membela nasib mereka.

Monday, April 1, 2013

ANAK MUDA WAJIB JATUHKAN REJIM UMNO/BN - CHEGU BARD

Di dalam program ceramah bersama Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Sdr Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard malam tadi (01/4/13) di Semambu, Indera Mahkota, beliau menyeru seluruh warga Indera Mahkota dan Kuantan memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat di dalam PRU 13 kali ini.



Beliau dengan penuh semangat menyeru agar anak-anak muda terutamanya bangkit kuburkan rejim Umno/Bn di dalam PRU kali ini kerana sudah terlalu banyak ' dosa-dosa' rejim sekarang yang tidak boleh lagi dimaafkan oleh rakyat. "Berilah sokongan padu kepada Dato' Fauzi di Parlimen Indera Mahkota dan Sdr Lee Chean Chung di Dun Semambu di samping kekalkan YB Fuziah Salleh di Parlimen Kuantan", ujarnya.  Beliau juga penuh yakin PAS juga mampu merampas kerusi Dun yang kini dipegang oleh Umno/Bn.

"Anak Muda tidak impikan kerusi Wakil Rakyat, tetapi anak muda bersedia turun berkempen tidak kira waktu dan masa". Tegas beliau sambil diberi tepukan gemuruh oleh tidak kurang 600 orang yang hadir malam tadi.